Monday 24 August 2015

Menu Hati 2



1) Kebiasaannya, ketika berada di restoran, apabila sudah sampai di depan kaunter barulah mahu berfikir hendak pilih makanan apa, minum apa, pakej yang mana. Menu kan sudah terpampang lama. Perhatikanlah awal-awal. Bukankah ia menyusahkan diri, orang lain serta sudah terlambat. Buatlah pilihan dan keputusan awal. Pelik sungguh!
Kebiasaannya, ketika melalui kehidupan, apabila sudah sampai di 'sana' nanti barulah tersedar dan terfikir mahu memilih kehidupan bagaimana,kesudahan seperti apa, pengakhiran yang mana. 'Menu Hidup / Al-Quran' kan sudah terpampang lama. Perhatikanlah dan tadabburlah awal-awal. Bukankah ia menyusahkan diri, orang lain serta sudah terlambat. Buatlah pilihan dan keputusan awal. Pelik sungguh!

Surah al-Mu'min/Ghafir 32-33


وَيَا قَوْمِ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ

"Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan),

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ مَا لَكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ ۗ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

"(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.



Surah Sajadah : 13

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ


Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".


2)  Ketika cebisan makanan terselit di celah gigi, keadaannya sungguh tidak selesa. Terasa seperti ia terlalu besar. Usaha dilakukan bersungguh-sungguh sehingga dapat mengeluarkannya. Barulah rasa tenang dan selesa.
Ketika cebisan dosa dan kesalahan terselit di celah kehidupan, keadaannya juga sepatutnya akan mengundang tidak selesa. Mesti ada rasa seperti ia terlalu besar. Usaha mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh sehingga dapat mengeluarkan diri daripada dosa dan kesalahan walau sekecil mana pun. Barulah kehidupan akan rasa tenang dan selesa.

3) Risau sungguh rasa apabila sudah tidak lagi boleh menikmati makanan manis-manis. Hilang nikmat dunia yang sementara!
Risau yang sama perlu ada apabila sudah tidak lagi boleh merasa nikmat manisnya ibadah. Hilang nikmat akhirat yang kekal abadi!



Menu Hati 1

(1)
Pesan ibu, semasa nak makan ;
1. Cuci mulut dan bersugi dulu
2. Cuci tangan 
3. Duduk elok-elok, makan pelan-pelan, jangan gelojoh
4. Masa makan jangan sambil buat benda lain, tengok tv dll : fokus
5. Jangan makan lauk saja, nasi mesti habiskan. nasi yang penting.
Pesan Nabi, semasa nak baca al-qur'an ;
1. Cuci mulut dan bersugi dulu
2. Cuci diri dengan berwudhu'
3. Duduk dengan tertib, baca pelan-pelan (tartil), jangan tergesa-gesa
4. Masa baca al-qur'an jaga penghayatan dan fokus
5. Jangan sibuk dengan lagu sahaja, tajwid kena jaga. Tajwid yang penting



(2) 
Ketika mahu memasuki restoran mewah, hati perlu berkira-kira, "cukup ke duit nak masuk makan di sini." Andai tak cukup, kita akan sedar diri, tak layak makan di restoran tersebut. Usaha sedaya mungkin untuk kumpul duit agar layak makan di situ.
Ketika bercita-cita mahu memasuki syurga yang serba indah dan mewah, hati perlu berkira-kira, "cukup ke amalan nak masuk ke sana." Andai belum cukup, kita sepatutnya sedar diri, tak layak ke syurga. Usaha sedaya mungkin untuk kumpulkan bekalan agar kita layak ke sana!





(3)
Ketika kita sudah membiasakan diri dengan waktu yang tetap untuk pengambilan makanan, andai terlewat perut akan berbunyi memberikan isyarat bahawa sudah sampai masanya untuk makan. Jika tertinggal dan tidak makan, perut akan sakit dan rasa tidak selesa.
Ketika kita sudah membiasakan diri dengan waktu yang tetap untuk solat dan beribadah, andai terlewat jiwa akan bergetar memberikan isyarat sudah sampai masanya untuk solat dan beribadah. Jika tertinggal dan tidak melakukan solat serta ibadah, jiwa akan 'sakit' dan rasa tidak selesa.


Popular Posts