Wednesday 30 September 2015

Menu Hati 4


1. Segera

Semasa di kedai makan, kesegeraan dan kepantasan melayan kehendak pengunjung adalah ciri utama yang akan menarik perhatian untuk berkunjung lagi.

Semasa di dunia, kesegeraan dan kepantasan kita 'melayan' / menuruti kehendak Ilahi adalah ciri utama yang akan menarik perhatian Rabbul Jalil untuk lebih hampir dengan kita.


"...Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul..." Surah Al-Baqarah : 186

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : "Allah Ta'ala berfirman : "Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil". (Hadits ditakhrij oleh Bukhari).




2. Putu Bambu 

Acuan bambu, maka terhasillah bentuk bambu/buluh...
Anak-anak : Acuan didikan yang benar, maka terhasillah perilaku/sahsiah yang benar...




3. Ketupat palas 
: Ada cara tersendiri untuk mengupasnya. Andai tidak mahir, kita tetap mampu mengupasnya dengan cara membuka punca simpulan daun tersebut.
Ujian & Masalah : Ada cara tersendiri untuk mengatasinya. Andai tidak mahir, kita tetap mampu mengatasinya dengan cara meleraikan punca permasalahan tersebut.

"..Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya..." Surah An-Nisa' : 59

4. Pisang 
: Kreativiti & kepelbagaian cara dalam menyediakan menu ; goreng pisang, lepat pisang, cucur pisang, pengat pisang. Asasnya, tetap pisang!
Dakwah : Kreativiti & kepelbagaian cara dalam merealisasikannya ; penulisan dakwah, karikatur dakwah, t shirt dakwah, lagu dakwah. Asasnya, tetap dakwah!
"...Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk..." Surah An-Nahl : 126

5. Kedai Makan

Setiap kali menonton rancangan tentang lokasi makan, teruja sungguh mahu ke sana. Menikmati semua yang ditunjukkan....terkadang ia hanya 'indah khabar dari rupa'.
Setiap kali mendengar atau membaca tentang lokasi akhir sebuah kehidupan (syurga), usahakanlah untuk teruja mahu ke sana. Menikmati semua yang dinukilkan olehNya....ternyata dan pasti ia adalah 'jauh lebih indah daripada apa yang diduga'.

"...Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya..."

Surah Al-Baqarah : 26

6. Nasi Campur : Apa pun lauk-pauk di sekeliling pinggan, ia mesti diserasikan dengan menu utama iaitu nasi putihnya...
Matlamat Hidup : Apa pun tugasan, amanah & tanggungjawab di sekeliling kehidupan, ia mesti di'serasi'kan dengan matlamat utama penciptaan insan iaitu 'beribadah kepadaNya'...
"..Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu..."

Surah Az-Zariyat : 56



 
7. Bihun Goreng

Mihun : Sehelai mihun tak terasa apa-apa. Tapi bila berhelai-helai/sepinggan boleh jadi kenyang...

Kebaikan : Seorang saja buat kebaikan tak ada kesan apa-apa. Tapi bila beramai-ramai laksanakan kebaikan boleh mengubah dunia....


 


8. Cendol 

Mahu rasa manisnya, kacau lah bahagian bawahnya, kerana gula ada di bawah...

Ujian hidup : Mahu rasa manisnya, gali lah hikmah di sebaliknya, kerana hikmah itu tersirat dan tersembunyi...



9. Sotong goreng tepung 

: Mahu tepung lekat elok dengan sotong, gaulkan sotong dengan campuran tepung dan telur....

Azam tahun baru : Mahu azam tersemat elok dengan hadirnya tahun baru, iringkan azam dengan niat yang benar dan amalan kecil secara berterusan...



 


 10. Keropok

Rangup keropok akan jadi lemau andai tidak segera dimakan...

Kesungguhan azam akan longlai andai tidak segera dilaksana...



 


11. Lebihan Nasi

Lebihan nasi semalam jangan dibuang. Campurkan dengan rencah yang ada, jadikan nasi goreng...

Cebisan pengalaman silam jangan disia-siakan. 'Campurkan' dengan 'rencah kehidupan' hari ini, jadikan pengajaran....








No comments:

Post a Comment

Popular Posts