Monday 24 August 2015

Menu Hati 1

(1)
Pesan ibu, semasa nak makan ;
1. Cuci mulut dan bersugi dulu
2. Cuci tangan 
3. Duduk elok-elok, makan pelan-pelan, jangan gelojoh
4. Masa makan jangan sambil buat benda lain, tengok tv dll : fokus
5. Jangan makan lauk saja, nasi mesti habiskan. nasi yang penting.
Pesan Nabi, semasa nak baca al-qur'an ;
1. Cuci mulut dan bersugi dulu
2. Cuci diri dengan berwudhu'
3. Duduk dengan tertib, baca pelan-pelan (tartil), jangan tergesa-gesa
4. Masa baca al-qur'an jaga penghayatan dan fokus
5. Jangan sibuk dengan lagu sahaja, tajwid kena jaga. Tajwid yang penting



(2) 
Ketika mahu memasuki restoran mewah, hati perlu berkira-kira, "cukup ke duit nak masuk makan di sini." Andai tak cukup, kita akan sedar diri, tak layak makan di restoran tersebut. Usaha sedaya mungkin untuk kumpul duit agar layak makan di situ.
Ketika bercita-cita mahu memasuki syurga yang serba indah dan mewah, hati perlu berkira-kira, "cukup ke amalan nak masuk ke sana." Andai belum cukup, kita sepatutnya sedar diri, tak layak ke syurga. Usaha sedaya mungkin untuk kumpulkan bekalan agar kita layak ke sana!





(3)
Ketika kita sudah membiasakan diri dengan waktu yang tetap untuk pengambilan makanan, andai terlewat perut akan berbunyi memberikan isyarat bahawa sudah sampai masanya untuk makan. Jika tertinggal dan tidak makan, perut akan sakit dan rasa tidak selesa.
Ketika kita sudah membiasakan diri dengan waktu yang tetap untuk solat dan beribadah, andai terlewat jiwa akan bergetar memberikan isyarat sudah sampai masanya untuk solat dan beribadah. Jika tertinggal dan tidak melakukan solat serta ibadah, jiwa akan 'sakit' dan rasa tidak selesa.






(4)
Spaghetti akan tawar dan hambar tanpa kuahnya. Masam manis kuah digaul agar sebati dengan spaghetti. Barulah spaghetti namanya!
Kehidupan akan tawar dan hambar tanpa ujian. Masam manis ujian menjadi rencah yang sebati dengan kehidupan. Barulah hidup namanya!





(5)
Roti krim apabila sudah dibuka plastik pembungkus kelihatan sama sahaja. Cara mengetahui perisanya hanyalah dengan melihat krim di dalamnya.
Manusia apabila sudah dilucutkan segala mahkota kemuliaan diri, pangkat dan kekuasaan kelihatan sama sahaja di sisi Allah. Cara mengetahui kemuliaannya hanyalah dengan melihat taqwa di dalam jiwanya.



(6)
Ketika dihidangkan dengan pelbagai menu makanan, nafsu akan sentiasa ingin menikmati semuanya, namun hakikatnya perut hanya perlukan sebahagian kecil daripada apa yang terhidang.
Ketika kita dibentangkan dengan pelbagai nikmat serta kemewahan dunia, nafsu akan sentiasa menginginkan untuk memiliki dan menikmati semuanya, sedangkan hakikatnya kita hanya perlukan sebahagian kecil daripada nikmat tersebut untuk sebuah kehidupan.



(7) Ketika persiapan Majlis Jamuan ;
"Dulu menu kita sediakan menu utama saja, jadi semua tertumpu ke situ, bimbang tak cukup."
"Tahun ni kita tambah menu-menu sampingan la, boleh tampung menu utama. Barulah cukup."
"Menu utama kita kekalkan, menu tambahan kita perbanyakkan. Moga majlis berjalan lancar."
Ketika persiapan menuju Mahsyar ;
"Dulu ibadah utama saja kita lakukan, jadi hitungan Allah pada itu saja, bimbang tak cukup."
"Tahun ni kita tambah ibadah-ibadah sampingan, untuk tampung ibadah utama. Mudah-mudahan mencukupi."
"Ibadah utama kita kekalkan, ibadah tambahan kita perbanyakkan. Moga perhitungan amal kita lancar."

(8)
Teh tarik paling mengujakan pada buihnya. Namun, hakikatnya buih tersebut sangat 'rapuh'. Dihirup atau dibiarkan saja akan hilanglah ia.
Nabi mengingatkan tentang ngerinya satu zaman di mana umat Islam diratah oleh musuh. Ketika itu, kita ramai tapi ibarat buih-buih rapuh, hanya kerana kita dihinggapi penyakit 'alwahnu' : cinta dunia & takut mati.





(9)
Biskut raya sekarang 'biskut raya tunjuk'. Ia sudah pasti tidak sama sebagaimana biskut raya dulu-dulu; diuli, ditempa, dibakar sendiri. Hasilnya lebih baik dan memuaskan hati.
Pendidikan sekarang 'pendidikan tunjuk/tuding jari'. Diswastakan kepada guru-guru, atau insan-insan lain. Ia sudah pasti tidak sama sebagaimana didikan ibubapa sendiri. Kitalah yang sepatutnya 'menguli', 'menempa' dan 'mencanai' akhlak anak-anak. Hasilnya pasti lebih baik dan memuaskan hati.


(10)
Konsep Rumah Terbuka mutakhir ini, memperuntukkan satu hari khusus beserta masanya untuk tetamu hadir ke rumah. Selepas itu, seolah-olah rumah sudah tidak terbuka menerima tetamu. Suatu ketika dahulu, cukup sekadar memaklumkan kehadiran, atau datang sahaja pada bila-bila masa, rumah 'sentiasa terbuka' menerima tetamu seadanya.
Ramadhan bulan di mana Allah Taala membuka seluas-luasnya pintu rahmat dan keampunan. Ramai di kalangan kita mengambil peluang tersebut, berbondong-bondong menuju rahmat dan keampunanNya. Namun, selepas Ramadhan, seolah-olah segala pintu rahmat dan keampunan sudah tertutup. Sedangkan pintu tersebut sentiasa terbuka menerima hambaNya seadanya kita. Ingatlah, pintu rahmat dan keampunan Ilahi terbuka luas sepanjang masa, setiap bulan bersilih ganti, sehingga kita kembali kepada Rabbul Izzati…..

(11)

Ketika kuih-muih sedang banyak, tiada langsung rasa nak menjamahnya. Bila disua pun jawapannya, "nantilah". Tapi bila sudah tinggal serdak, masa itulah sibuk nak menjamah, dan bertanya, "ada lagi tak?"..
Ketika masa, usia dan kelapangan masa masih ada, langsung tiada rasa mahu beramal. Bila diajak pun jawapannya, "nantilah". Tapi bila sudah suntuk masa, usia sudah dimamah waktu, kelapangan tinggal sedikit, masa itulah sibuk mahu beramal dan berharap, "ada lagi tak kesempatan buatku?"...


(12) 1 Syawal : 

Lontong dibalut dengan daun pisang. Balutannya mestilah kemas, agar tidak pecah dan keluar isinya. Direbus agak lama, sentiasa perlu diperhatikan agar air tidak kering. Air perlu ditambah dari masa ke semasa.
Puasa ibarat balutan perisai diri. Perisai itu mestilah kemas dan rapi agar ia tidak mudah pecah dek hasutan syaitan dan nafsu. Amalan puasa dilakukan agak lama (sebulan), sentiasa perlu diperhatikan (muhasabah) agar tidak rosak. Amalan kebaikan perlu ditambah dari masa ke semasa (istiqomah) agar kita terus berada dalam kebaikan selepas Ramadhan.
SALAM EIDULFITRI 1436H

------------------------------------------
(13) Ramadhan
Bubur lambuk dengan pelbagai resepi tetapi konsepnya tetap sama iaitu mengadunkan semua bahan dalam satu wadah, dimasak hingga sebati dan menjadi lembut. Kemudian diagih-agih agar semua dapat merasainya.
Ramadhan dengan pelbagai pengisian : sahur, iftar, tarawikh, tadarus; konsepnya menyatukan jalinan ukhuwwah dalam satu wadah agar ummah serasi dan saling berlemah-lembut. Kemudian disebarluaskan rasa kasih-sayang itu.
MANFAATKAN RAMADHAN MU!

(14) Ramadhan
Ketika menyediakan menu hidangan iftar atau sahur, sentiasa kita tidak jemu-jemu mencari kelainan, satu demi satu menu terbaik diusahakan.
Ketika Ramadhan sudah melepasi 1/3, semoga kita sentiasa tidak jemu-jemu mencari kelebihan, berusaha menambah satu demi satu kebaikan dalam mencari ampunanNya.

(15) Ramadhan
Di saat hampir berbuka puasa, pelbagai juadah sudah tersedia di meja. Teruja ingin menikmatinya. Hanya perlu berusaha menghampiri meja dan duduk mempersiapkan diri untuk menikmatinya. Rugi kalau tak makan...
Di saat Ramadhan tiba, tersedia pelbagai pengisian jiwa. Jiwa fitrah pasti teruja ingin turut serta. Hanya perlu berusaha menghampiri dan mempersiapkan diri untuk menghayatinya. Rugi kalau tak turut serta....
MANFAATKAN RAMADHAN MU!

(16) Ramadhan
Makan makanan yang masih panas memang menyelerakan. Andai makanan sudah sejuk, ia perlu diperhangatkan semula untuk lebih menyelerakan tika ingin dinikmati.
Ramadhan sentiasa menghangatkan kita dalam beribadah. Andai kehangatannya semakin pudar, ayuh hangatkan semula agar tidak hilang semangat kita dalam mengharunginya.
HANGATKAN RAMADHAN MU!

(17) Ramadhan
Kipas yang penuh habuk dan kekotoran akan lebih perlahan pusingannya, tidak terasa anginnya. Namun, apabila dibersihkan ia akan berpusing lancar, lebih terasa anginnya.
Ramadhan bulan membersihkan hati. Bila hati kian bersih, kita akan lebih mudah bersegera melakukan kebaikan, dan 'rasa' wujud dalam setiap amalan yang dilaksanakan.
INDAHNYA!

(18) Ramadhan
Keadaan persekitaran sangat mempengaruhi perubahan perwatakan manusia.
Ramadhan hadir dengan suasana kondusif. Wajarlah andai kita akan dapat melihat perubahan perwatakan insan. Apatah lagi jiwa manusia memang sudah tersedia dengan fitrah kebaikan.
Apabila kebaikan dalaman seiring dengan kebaikan luaran, lihatlah KEAJAIBAN!

No comments:

Post a Comment

Popular Posts