Monday 24 August 2015

Menu Hati 2



1) Kebiasaannya, ketika berada di restoran, apabila sudah sampai di depan kaunter barulah mahu berfikir hendak pilih makanan apa, minum apa, pakej yang mana. Menu kan sudah terpampang lama. Perhatikanlah awal-awal. Bukankah ia menyusahkan diri, orang lain serta sudah terlambat. Buatlah pilihan dan keputusan awal. Pelik sungguh!
Kebiasaannya, ketika melalui kehidupan, apabila sudah sampai di 'sana' nanti barulah tersedar dan terfikir mahu memilih kehidupan bagaimana,kesudahan seperti apa, pengakhiran yang mana. 'Menu Hidup / Al-Quran' kan sudah terpampang lama. Perhatikanlah dan tadabburlah awal-awal. Bukankah ia menyusahkan diri, orang lain serta sudah terlambat. Buatlah pilihan dan keputusan awal. Pelik sungguh!

Surah al-Mu'min/Ghafir 32-33


وَيَا قَوْمِ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ

"Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan),

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ مَا لَكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ ۗ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

"(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.



Surah Sajadah : 13

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ


Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".


2)  Ketika cebisan makanan terselit di celah gigi, keadaannya sungguh tidak selesa. Terasa seperti ia terlalu besar. Usaha dilakukan bersungguh-sungguh sehingga dapat mengeluarkannya. Barulah rasa tenang dan selesa.
Ketika cebisan dosa dan kesalahan terselit di celah kehidupan, keadaannya juga sepatutnya akan mengundang tidak selesa. Mesti ada rasa seperti ia terlalu besar. Usaha mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh sehingga dapat mengeluarkan diri daripada dosa dan kesalahan walau sekecil mana pun. Barulah kehidupan akan rasa tenang dan selesa.

3) Risau sungguh rasa apabila sudah tidak lagi boleh menikmati makanan manis-manis. Hilang nikmat dunia yang sementara!
Risau yang sama perlu ada apabila sudah tidak lagi boleh merasa nikmat manisnya ibadah. Hilang nikmat akhirat yang kekal abadi!





4) Fitrah air jarang (panggilan dalam bahasa Jawa untuk air kosong), dimasukkan teh jadi air teh, dimasukkan kopi jadi air kopi. Perubahannya sangat tergantung pada apa yang dimasukkan ke dalamnya.
Fitrah hati, dimasukkan kebaikan jadi baik, dimasukkan keburukan jadi buruk. Perubahannya sangat tergantung pada apa yang dimasukkan ke dalamnya melalui pancaindera.




5) Panas dan sejuk air minuman di dalam cawan dan gelas dapat dirasai dari luar.
Begitulah juga keindahan peribadi seseorang dapat dilihat cerminannya dari perawakan serta tingkah-laku luarannya.
 "...Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas)..."  Surah Al-Fath : 29


6) Ketika menentukan keseimbangan rasa Ayam Sambal, 3 perkara mesti diadun : garam, asam dan gula.
Ketika menentukan keseimbangan hidup, 3 perkara mesti diadun : Islam, Iman dan Ihsan.






7) Pengalaman mengajar kita, ketika mencicah biskut di.dalam air, ada kalanya biskut akan tenggelam, tak dapat diselamatkan. Andai berusaha untuk cuba mengambilnya semula pun, sudah tidak sama. Maka, ketika mencicah biskut, usah berkhayal, berlengah-lengah dan mesti berhati-hati agar.biskut tidak tenggelam dan merugikan kita.
Pengalaman mengajar kita, ketika mencecah usia tahun demi tahun, ada kalanya usia itu tenggelam tanpa dapat dimanfaatkan. Andai berusaha untuk cuba mengembalikannya semula pun, sudah tidak sama. Maka, ketika mencecah usia tahun demi tahun, usah berkhayal, berlengah-lengah dan mesti berhati-hati agar usia kita tidak 'tenggelam' begitu sahaja dan merugikan kita.
Tambahan:
Alifi Alias Saya dari kecil lagi suka ambil 5-6 keping biskut dah patah2kan kemudian masukkan ke dalam cawan berisi milo panas. Kemudian saya gunakan sudu untuk menceduk, menghirup, mengkemam kemudian menelan biskut2 tadi dengan penuh rasa nikmat dan syukur atas kesedapan dan anugerah rasa yg dikecapi.. barangkali, yang tengggelam itu bisa diselamatkan dan disatukan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran agar saki baki hayatnya bisa memberi manfaat kpd yang lain..


8) Ketika kita menikmati makanan yang pada sangkaan kita milik mutlak kita, rupa-rupanya ada sesuatu yang kita tinggalkan untuk makanan makhluk lain. Malah yang masuk ke dalam perut juga bukan semua mendarah mendaging, ada yang akan dikeluarkan secara tabie. Itulah resam makanan!
Ketika kita menikmati rezeki yang pada sangkaan kita milik mutlak kita, rupa-rupanya pada rezeki kita ada rezeki insan lain. Malah yang kita belanjakan untuk kita juga bukan milik kita. Sebaliknya yang kita berikan pada jalanNya saja akan dinilai sebagai 'milik kita' di sana nanti. Itulah resam rezeki!




9) Yis/ibu roti menaikkan adunan tepung dalam pembikinan roti.
Islam menaikkan/meninggikan darjat manusia dalam kehidupan.


10) Roti Puri ; kelihatan besar, kembang menggelembung. Sebenarnya, isinya kosong.....
Insan yang membesarkan diri, berdegar-degar itu dan ini. Bimbang hatinya kosong.....





11) Resmi satay : dicucuk-cucuk, dikipas dan dibakar, akhirnya terhidang untuk dimakan....
Resmi kemusnahan ummah : saling cucuk-mencucuk, kipas-mengipas dan bakar-membakar, akhirnya terhidang untuk dimamah musuh zahir & batin.... 






12) Ciri-ciri cucur udang : Ada udang padanya, Barulah betul!
Ciri-ciri Muslim : Ada Islam pada dirinya. Barulah betul!



13) Roti Jala ; mengambil nama sempena bentuknya yang seperti jala. Resmi jala, ia ditebar beberapa kali, semasa menariknya semula, kita mengharapkan agar ada hasil yang tersangkut di jala tersebut.
Dalam hidup ini, tebarlah 'jala kebaikan' sebanyak mungkin. Mudah-mudahan ketika kita menariknya semula di 'sana', ada hasil tersangkut padanya yang dinilai sebagai ibadah di sisi Maha Esa.



14) Ketika menuang secawan teh melalui teko, ia kelihatan indah dan mudah. Namun, andai ditelusuri terlalu banyak dan rumit prosesnya ; menanam, membaja, memelihara, memetik daun, memproses, serta mengedarkannya. Maka itu, bersyukurlah setiap kali menghirup secawan teh!
Ketika menikmati Islam melalui baka/ keturunan, ia kelihatan indah dan mudah. Namun, andai ditelusuri terlalu banyak dan rumit proses dakwah menyampaikannya ; penurunan wahyu, dakwah sembunyi, ancaman,desakan dan penderitaan, serta pengorbanan/ susah-payah menyampaikannya. Maka itu, bersyukurlah setiap kali menghirup udara pagi dalam Islam dan Iman!


15) Ada orang berkata, "makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap." Hakikatnya makan juga tidak boleh sembarangan. Akibatnya akan terkena keracunan makanan.
Ada orang berkata, "rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari." Hakikatnya, rezeki yang haram mesti ditolak kerana ia akan mengakibatkan 'keracunan' hati buat diri dan mereka-mereka yang kita kasihi.






16) Agar-agar, keras dan kenyal di luar tetapi lembut di dalam.

Mengingatkan diri tentang saranan Ilahi terhadap sifat mukmin yang bersama-sama Nabi SAW ; 'tegas terhadap org kafir, berkasih-sayang/berlemah-lembut sesama mereka'

No comments:

Post a Comment

Popular Posts