Monday 7 April 2014

Kisah Raga


Alhamdulillah, kita hidup sekali lagi setelah dimati kecilkan Allah dengan tidur…

Moga hari ini kita lebih bermotivasi dan lebih baik dari hari sebelumnya..

Pernah dalam suatu majlis ketika bertemu dengan guru sekolah rendah saya, beliau berkongsi sebuah kisah menarik – tentang RAGA…

1) Suatu ketika seorang guru menyuruh seorang pelajar mengambil air dari sungai. Kedudukannya agak jauh. Diberikan suatu bekas – RAGA – yang pastinya kita tahu berlubang-lubang sifatnya.

Hari pertama, tiada air yang dapat diceduk dalam sungai. Kata guru, tak mengapa, bawa sahaja ke pondok. Esok mulakan lagi, ambil sekali lagi air itu, menggunakan raga yang sama. Hari ketiga, pelajar mula hilang sabar:-


Murid: Bagaimana mungkin dapatku ceduk air menggunakan raga itu??! Wahai guru, kenapa kau suruh aku buat sesuatu yang mustahil. Ambil air dari raga yang berlubang??!

Guru: Betul, aku suruh engkau ambill air, dengan sesuatu yang tak dapat isi air.
Itu yang aku nak kau belajar, dalam kita menuntut dan menceduk ilmu, kita perlu kepada ALATAN. Tak boleh kita datang belajar berlenggang-kangkung sahaja. Bukankah alatan untuk mengikat ilmu adalah Pen & Kertas?

(Surah Al-Qalam ayat 1 : “Nuun. Demi Pena dan apa Yang mereka tulis” )

Guru: Tanpa peralatan yang betul kau takkan dapat menceduk ilmu dariku walaupun kau datang hari-hari. Sebagaimana kau tak dapat menceduk walau setitis air kerana peralatan yang kau guna tidak betul.

2) Guru: Memang betul tak dapat isi air, kerana raga tak dapat menampung air. Tapi cuba lihat raga yang telah kau gunakan itu. Sebelum guna, bagaimana raga itu?
Murid: Kotor, lusuh, buruk.
Guru: Sekarang bagaimana rupanya?
Murid: Raga tersebut sudah bersih, seperti sudah dicuci.
Guru: Ya, ia tidak kau cuci, tapi kerana saban hari kau celup dalam sungai maka ia kembali bersih. Itulah dalam hidup, ketekunan kita itu sekurang-kurangnya akan memberi kesan dalam hidup, akan ada ganjaran di sisi Allah.

Mungkin payah kita melakukan ibadah, menuntut ilmu dan sebagainya. Akan tetapi percayalah, jika dilakukan sentiasa, walau tak dapat sepenuhnya, tapi kita akan dapat sedikit demi sedikit, memperindahkan & memperolekkan diri malah lebih menjernihkan hati.

Dengan Raga kita belajar;

1) Dekatkan diri dengan ilmu & ikat dengan tulisan, tazkirah, rakaman, pengulangan dan pelbagai medium.

2) Jangan putus harap melakukan amal kebaikan. Kalau pun tak dapat dihadam sepenuhnya kerana kekangan masa, komitmen dan sebagainya. Namun mungkin istiqamah dan ketekunan yang jitu, kita akan beroleh sesuatu.

Ustaz Idzhar Jumali - Motivasi Pagi 7.30am, 13 Mac 2014 Ikim Fm

No comments:

Post a Comment

Popular Posts